Pernahkah kita melihat wanita yang terlalu cantik, sempurna segala zahirnya, anggun bergaya dengan kosmetik dan perhiasannya bak supermodel? Bukan hanya lelaki yang suka memandang, bahkan sesama perempuan juga tertarik melihat penampilan yang sedap dipandang. Tetapi sayangnya, setelah kita mengenali hati budinya, dia sungguh berbeza luaran dan dalaman. Luaran amat memukau, manakala dalaman pula sungguh memeranjatkan!
Lelaki yang hidung belang memang tidak ambil kisah tentang keperibadian seorang wanita. Apa yang penting buat mereka adalah seksi dan boleh memuaskan nafsu keji mereka. Tetapi, lelaki sejati yang beriman tidak akan sanggup mengambil isteri seorang wanita yang jahil, busuk hati dan kesat lidah sebagai pendamping hidup.
Ada pula yang mengambil risiko cuba-cuba untuk nasib, manalah tahu si jelita ini boleh berubah perangainya suatu hari nanti, tapi nahas pula yang diperolehi, habis beribu ringgit melabur supaya isteri berubah, tetapi tidak juga berhasil usaha untuk ‘turn over’ hati dan sikapnya.
Setiap wanita yang dilahirkan dalam keadaan sempurna jasmaninya, jangan berpuas hati dahulu sebelum menilai kelemahan yang tersembunyi dari pandangan orang lain. Jika kita (wanita) memiliki tiga sifat berikut ini, baik berhati-hati kerana setiap lelaki yang mengenali mungkin akan lari meninggalkan kita…
1) Jahil
Dunia semakin maju, teknologi dan informasi terkini telah pun tersebar dengan pesat dan cepat. Wanita dulu dan sekarang jauh berbeza, tetapi yang tidak pernah berubah adalah kefahaman agama yang mesti dipegang dengan kuat, seiring beredarnya masa menuju akhir zaman yang semakin mencabar.
Jahil tentang ilmu dunia dan akhirat adalah kelemahan yang membuat kita nampak hodoh. Hanya ilmu yang boleh mengangkat status seseorang dan merubah sejarah hidup manusia. Ilmu dunia jika tidak diiringi dengan ilmu akhirat (agama) akan pincang.
Wanita yang mempunyai kelulusan dalam bidang perubatan, ekonomi, sosiologi, antropologi, politik, sains dan lain-lain akan tersesat tanpa bimbingan ilmu agama yang sahih. Inikan pula wanita yang tidak tahu apa-apa selain kosmetik dan butik, jadi hendak ke mana dibawa anak-anak yang lahir dari rahim mereka ini?
2) Buta hati
Cantik paras rupa tetapi buta hati. Tidak akan selamat sesiapa pun yang mendampingi wanita sebegini. Hati merupakan pusat tenaga pada diri manusia. Jika baik hatinya maka baiklah amalannya dan begitulah sebaliknya. Mengapa sibuk mandi aura bunga-bungaan sebagai pembangkit tenaga dalaman tetapi hati pula dibiarkan busuk dan bernanah.
Apakah yang menyebabkan hati sakit?
i) Tidak mengenal Allah dan Rasul dengan sebenarnya
Jalan mengenal Allah dan Rasul adalah dengan mempelajari al-Quran dan hadis. Bukan setakat dibaca tapi dikaji, difahami, diamalkan dn diperjuangkan. Kalau pergi ke pusat rawatan kecantikan atau salun pasti waktu habis dua tiga jam untuk satu sesi, mengapa pula jika belajar agama tiada masa dan asyik memberi alasan ‘sibuk’?
Hati yang tidak disentuh ayat-ayat Allah dan ilmu-Nya, semakin lama akan menjadi semakin kotor, sakit dan tenat kerana tabiat hati diciptakan Allah SWT memerlukan makanan. Makanan hati adalah al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
ii) Terlalu berlebihan dalam perkara mubah
Banyak makan, tidur, sibuk dengan hiburan, permainan, shopping, menghias rumah berlebih-lebihan, sibuk bersenam dan berubat mengalahkan kewajipan sembahyang. Tidak tahu mana prioriti dalam kehidupan. Hal ini boleh merosakkan hati.
Agama tidak melarang manusia bersenang-senang, tetapi hidup ini mesti seimbang antara dunia dan akhirat. Jika setiap hari keletihan akibat mengikut segala kemahuan hawa nafsu sehingga tidak larat untuk beribadah, tentu keadaan sebegini akan menyebabkan seseorang menjadi lalai. Jika sudah lalai, hati menjadi keras dan kotor, tidak mampu membezakan yang baik dan buruk dalam perbuatannya.
iii) Menjadikan syaitan sebagai teman akrab
Amat berbahaya jika syaitan duduk dalam hati manusia. Meniupkan angin dengki, prasangka buruk, dendam amarah, riak dan sombong. Jangan biarkan syaitan masuk ke pintu hati kita dan menebarkan racun-racunnya. Berlindunglah kepada Allah SWT daripada gangguannya. Hati yang sakit melahirkan perangai-perangai yang gila, menyusahkan diri dan orang lain. Tidak ada wanita yang lebih hodoh dari si pendengki, pencemburu buta dan pendendam. Maka waspadalah!
3) Kasar lidah
Kehodohan yang paling ketara adalah ketika seorang wanita melepaskan panahan lidahnya. Tajam menusuk hati orang yang mendengar, menyebabkan siapapun enggan bersahabat dengannya. Suami menghindari, anak-anak lari, jiran dan handai taulan menutup diri tidak mahu berhubungan dengan wanita yang tidak pandai menjaga lidahnya.
Mengumpat, memfitnah dan mencaci telah sebati dalam dirinya. Al-Quran telah memberi amaran seksa bagi orang yang mengumpat saudaranya yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari prasangka itu adalah dosa dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”
- (Surah al-Hujurat ayat 12)
Sesungguhnya jahil, buta hati dan kasar lidah adalah sehina-hina perangai yang dibenci makhluk apatah lagi Allah Taala yang Maha Suci. Kecantikan perlu diusahakan dan dicari, maka berhiaslah dan berubatlah untuk kecantikan zahir dan batin.
Sumber : Dr Hj Juanda Jaya
papan kekunci diketuk oleh SilaHezi
No comments:
Post a Comment